20081011

Dr Khir harap semua calon Ketua Pemuda dapat cukup kuota pencalonannya

Bagi yang sudah menawarkan diri bertanding jawatan dalam pemilihan UMNO Mac depan, kini masing-masing tak senang duduk menunggu empat sayap bahagian parti itu yang mula bermesyuarat Khamis lalu mencalonkan mereka.

Selain jawatan Timbalan dan Naib Presiden UMNO, perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO juga sengit dengan tiga pemimpin sedang berlumba-lumba mendapat kuota 38 pencalonan bagi layak bertanding jawatan yang dikosongkan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Selepas tiga hari mesyuarat bermula. Datuk Mukhriz anak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang mendahului Khairi Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Sehingga malam tadi, ahli parlimen Jerlun itu sudah mendapat 24 pencalonan berbanding Khairy 16 manakala Dr Khir pula hanya enam pencalonan.

Sudah pasti ahli parlimen Rembau dan bekas Menteri Besar Selangor itu kini tidak senang duduk dan berharap jumlah pencalonan terus meningkat bagi melayakkan mereka bertarung digelanggang sebenar pada Mac nanti.

Dr Khir sendiri mengakui laluannya sukar tetapi tetap yakin memperolehi cukup pencalonan walaupun agak jauh ketinggalan di belakang Mukhriz dan Khairy.

Bercakap kepada wartawan di majlis sambutan Aidil Fitri di kawasannya di Simpang Lima, Sungai Besar Sabtu, beliau melihat pertembungan pemilihan Ketua Pemuda UMNO kali ini dijangka hebat kerana calonnya anak bekas Perdana Menteri dan menantu Perdana Menteri.

Ditanya mengenai senario itu, Dr Khir berkata, sebagai calon baru menawarkan diri, beliau bergantung pada kekuatan dan pengalaman sendiri bukan bapa dan orang lain.

“Kita tahu Mukhriz bergantung kekuatan Dr Mahathir, Khairy dengan Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), ini memang agak sukar selain ada usaha menidakkan calon lain bertanding,” katanya.

Beliau berharap calon-calon yang bertanding bergantung kekuatan sendiri bukan orang lain kerana pandangan bapa dan anak pasti berbeza.

“Saya pernah nyatakan bahawa kita kena benarkan semua calon bertanding walaupun empat orang. Biar mereka (calon) jumpa kita (perwakilan dan ahli) jelaskan wawasan dan janji untuk dilaksanakan serta apa sudah dilaksanakan untuk parti,” katanya.

Dr Khir merayu ahli-ahli dan perwakilan memberi kuota mencukupi kepada semua calon supaya dapat bertanding secara sihat pada Mac nanti bagi membuktikan demokrasi subur dalam UMNO.

“Tidak perlulah ada usaha mengekang atau menyekat supaya ada tidak layak bertanding. Ini patut dihentikan,” katanya.

Sebanyak 191 Bahagian UMNO di seluruh negara jangka bermesyuarat dalam tempoh sebulan bagi memilih bakal pemimpin parti sebelum pertarungan sebenar pada pemilihan parti Mac depan.-

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com